Isnin, 5 Mei 2008

Alhamdulillah, pertama dan selamanya marilah kita sama-sama bersyukur ke hadrat Ilahi atas nikmat keilmuan, nikmat ukhwah dan segala nikmat yang diberikan kepada kita untuk membolehkan kita meneruskan kehidupan di dunia ini.

Setiap manusia yang hidup di alam fana’ ini akan di uji dengan pelbagai ujian sama ada ianya berat mahupun ringan. Itu adalah ketentuan Ilahi dan lumrah kehidupan bagi seseorang manusia apatah lagi ia bergelar seorang pelajar. Sama ada suka mahupun tidak kita terpaksa berhadapan dengan ujian tersebut. Tanpa persedian yang rapi, kita akan terus ketinggalan jauh. Justeru, bersiap sedialah untuk menghadapinya agar segala ujian yang terpaksa kita tempuhi itu, dihadapi dengan penuh kesabaran untuk mencapai kejayaan.

Setelah satu semester kita bertungkus lumus mencari dan mendalami ilmu yang ditawarkan di UKM khususnya di Fakulti Pendidikan, kini tibalah masa yang mana kita semua sebagai seorang pelajar terpaksa berhadapan dengannya, iaitu peperiksaan akhir semester. Saya mengharapkan sahabat-sahabat sekalian sudahpun bersedia untuk menghadapi ujian ini dengan penuh persediaan yang rapi dan terancang. Ingatlah wahai sahabatku, janganlah kita alpa dan leka dengan hiburan sehinggakan pelajaran kita terabai. Seharusnya kita berusaha untuk melakukan yang terbaik agar keputusan yang bakal diperoleh kelak lebih cemerlang dari sebelumnya.

Justeru, di kesempatan yang seketika ini saya ingin mengucapkan selamat menghadapi peperiksaan akhir semester kepada semua warga Fakulti Pendidikan. Lakukanlah perubahan dalam diri kita, buatlah yang terbaik agar kita menjadi pelajar yang cemerlang sekaligus menjadi modal insan yang berguna kepada masyarakat dan Negara. Sebelum saya melabuhkan sauh, izinkan saya memohon jutaan kemaafan kepada seluruh warga Fakulti Pendidikan andaikata tersilap salah sepanjang saya menjadi MPP bagi kawasan Fakulti Pendidikan. Akhir kata saya mendoakan agar anda semua berjaya menjawab dengan baik sekaligus mendapat keputusan yang cemerlang bagi peperiksaan semester ini. Sekian dulu dari saya. Wasalam….

“MAHASISWA PENJANA KECMERLANGAN NEGARA”

;;