Jumaat, 15 Ogos 2008
Amalan beberapa pelajar yang menoreh dagu bukan setakat mahu berlagak menjadi ahli kumpulan samseng Gagak Hitam, malah pada masa yang sama, kegiatan mereka membuli pelajar lain turut dianggap zalim. Walaupun sebelum ini mereka menafikan menindas pelajar lain, hakikatnya geng samseng sekolah itu memang menjadi pembuli dan ditakuti.
Difahamkan kegiatan Gagak Hitam merupakan sebuah kumpulan samseng pelajar yang pernah aktif dua dekad lalu dan berpangkalan di Lembah Klang. Kumpulan itu bertapak pada pertengahan 1980-an dengan gerakan liar dan menyepi seketika sebelum muncul semula pada awal 1990-an. Ketika itu, dagu pelajar yang menjadi ahlinya ditanda dengan menekap syiling yang dibakar atau ditoreh dengan jangka lukis dan ahli perlu bersumpah setia kepada kumpulan. Pelajar terlibat dikatakan berusia awal remaja antara 13 dan 15 tahun dan majoritinya adalah di kalangan pelajar tingkatan 1. Kumpulan itu berperanan sebagai ‘pelindung’ kepada ahlinya dan terlibat dengan kegiatan membawa barang-barang haram seperti ganja dan rokok ke sekolah selain terlibat dengan seks bebas.
Perkara itu didedahkan oleh seorang ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebuah sekolah di sini, Zaleha (bukan nama sebenar) yang bimbang dengan penularan budaya kumpulan samseng itu. Dakwanya, usaha menghidupkan kumpulan samseng di sekolah sudah dilakuka dan yang membimbangkan usaha ‘merekrut’ pelajar kian nyata termasuk di kawasan luar bandar. Zaleha mendakwa, beliau pernah berjumpa dengan dua pelajar yang mempunyai tanda tersebut di dagu mereka dan kedua-duanya mengakui ia ‘lambang’ mereka.
Perkara yang sama turut didedahkan oleh pelajar di beberapa sekolah di negeri ini yang menjadi mangsa dan sudah tidak tahan terus-menerus diperlakukan seumpama hamba kepada rakan sekolah sendiri. Seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Hana, 14, mendakwa, dia pernah dipukul ahli Gagak Hitam kerana tidak mampu membeli pen yang dijual mereka. “Pen itu asalnya pen saya. Mereka rampas. Esoknya mereka cari saya dan paksa saya beli dengan harga dua kali ganda pula. “Saya antara pelajar yang kerap jadi mangsa ahli kumpulan itu. Memang mereka zalim dan saya sedih kerana diperlakukan macam ni,’’ katanya yang tidak dapat belajar dengan tenang di sekolah.
Shauki (bukan nama sebenar), 13, berkata, setiap hari dia diugut oleh kumpulan pelajar yang berlagak ahli Gagak Hitam dan dipaksa memberi duit poket kepada mereka. “Paling kurang, mereka minta 20 sen. Saya pun berilah wang sebab memang dah tak ada pilihan lain, lagipun mereka ramai. Saya pernah melawan tapi mereka ancam pukul saya, malah mereka pegang tangan dan seluk poket saya. “
Jelasnya, ada kira-kira 10 pelajar di sekolahnya yang dikenali sebagai anggota kumpulan Gagak Hitam dan mereka kerap bersama dan melindungi satu sama lain.---Kosmo
Labels: iBNU aLHAMFARI
0 komentar:
Catat Ulasan