Isnin, 15 September 2008

ENAM MURID DILANGGAR KERETA


ALOR STAR - Enam kanak- kanak sekolah cedera termasuk seorang daripada mereka patah kaki akibat dilanggar sebuah kereta semasa melintas jalan di hadapan sebuah sekolah di Batu 4, Jalan Teluk Kecai, Kuala Kedah di sini semalam.

Kanak-kanak yang patah kaki kanannya itu dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB). Baki lima lagi murid dirawat sebagai pesakit luar di hospital sama.

Semasa kejadian pukul 7 pagi itu, keenam-enam mangsa yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Kecai di sini sedang menyebe- rangi jalan untuk ke sekolah mereka. Difahamkan, kumpulan kanak-kanak tersebut terus melintas selepas mereka menekan butang lampu isyarat dan lampu isyarat bertukar hijau.

Seorang mangsa, Mohd. Ali Abbas, 9, mendakwa, kereta yang dipandu seorang lelaki menuju ke Alor Star dari Kuala Kedah dikatakan telah melanggar lampu isyarat merah.

"Saya dan kawan-kawan terus melintas apabila melihat isyarat melintas menyala dan kenderaan lain sudah berhenti.

"Tetapi di pertengahan jalan, tiba-tiba sebuah kereta merempuh saya dan kawan- kawan lain sehingga kami terjatuh," ceritanya ketika ditemui di HSB di sini semalam.

Menurut kanak-kanak itu lagi, pemandu kereta tersebut telah memotong kenderaan lain di hadapannya sebelum melanggar kami.

Mohd. Ali berkata, dia dan rakan-rakan kemudiannya telah dibawa ke hospital oleh guru sekolah.

"Saya ditahan di wad kerana patah kaki di bahagian buku lali kanan.

"Kawan-kawan saya yang lain cuma cedera ringan dan dibenarkan pulang oleh doktor," katanya yang merupakan anak bongsu daripada lapan beradik.

Ibu kepada Mohd. Ali, Rokiah Bibi Abdul Rashid, 47, berkata, kejadian tersebut amat memeranjatkan dan berharap pihak sekolah dapat menyediakan warden trafik di tempat kejadian (KOSMO)

0 komentar: