Isnin, 20 Oktober 2008

LAGI MASALAH DISIPLIN PELAJAR



KANGAR: Tidak sampai seminggu selepas kejadian seorang pelajar perempuan tingkatan dua menendang guru, sekolah yang sama ’dikunjungi’ pula oleh polis hari ini untuk menahan beberapa pelajarnya bagi membantu siasatan berhubung pergaduhan sekumpulan pelajar di sekolah itu.

Ketua Polis Daerah Kangar Supt Yusof Mohd Diah berkata kejadian berlaku pada kira-kira jam 11 pagi, dipercayai berpunca daripada perselisihan faham sesama pelajar terbabit yang kemudiannya merebak kepada pergaduhan.

Bagaimanapun beliau tidak menyatakan jumlah pelajar yang terbabit dalam pergaduhan itu, jumlah mereka yang ditahan untuk siasatan dan tidak juga menyatakan sama ada kes itu turut membabitkan pelajar perempuan.

Yusof juga tidak menyatakan sama ada terdapat kecederaan dalam pergaduhan itu dan jenis senjata yang digunakan. Pihak sekolah dilapor telah meminta bantuan polis bagi meleraikan pergaduhan yang berlaku di bahagian belakang bangunan sekolah itu. (H. METRO)

0 komentar: